July 20, 2008

Gunung-gunung G7 di Malaysia





Permandangan di puncak Gunung Yong Belar

Terdapat banyak gunung-gunung yang ada di malaysia dan kadangkala kita sendiri tidak pernah mendengarnya. setiap negeri mempunyai gunung masing-masing dan mempunyai ketinggiannya yang tersendiri.
Malaysia mempunyai pelbagai gunung dengan ketinggian dan cabaran yang berbeza antara satu sama lain. Bagi pendaki-pendaki gunung, istilah G7 sangat popular di kalangan mereka bagi mengkategorikan gunung-gunung yang ada di Malaysia. Jadi apakah maksudnya gunung G7 dan G12 itu?
Gunung G7 adalah kategori gunung yang mempunyai ketinggian melebihi 7,000 kaki terletak di Semenanjung Malaysia. Gunung kategori G7 ini hanya terdapat 7 gunung sahaja di semenanjung Malaysia, oleh kerana itu, kategori gunung ini dipanggil G7 sempena angka 7 yang diambil dari ketinggian dan bilangannya. Antara gunung-gunung G7 ialah :-
  1. Gunung Tahan (7,186 kaki)
  2. Gunung Korbu (7,162 kaki)
  3. Gunung Yong Belar (7,156 kaki)
  4. Gunung Gayong (7,129 kaki)
  5. Gunung Chamah (7,210 kaki)
  6. Gunung Yong Yap (7,110 kaki)
  7. Gunung Ulu Sepat (7,089 kaki)

Gunung-gunung G7 ini juga terletak di sepanjang banjaran titiwangsa kecuali Gunung Tahan yang mana anda perlu mendaki beberapa gunung yang lain selain daripada G7 untuk sampai ke salah satu puncak gunung G7 tersebut. Trip atau perjalanan gunung G7 kebiasaannya memakan masa yang lama kerana faktor geografinya. Dan kebiasaannya, pendaki-pendaki membuat pendakian sekali harung mengikut nama/pakej perjalanan seperti berikut:-

  1. Kuala Tahan-Kuala Tahan: Gunung Tahan (8 hari)
  2. Kuala Tahan-Merapoh: Gunung Tahan (6-7 hari)
  3. Merapoh-Merapoh: Gunung Tahan (4 hari)
  4. Transpeak @ TransTitiwangsa: Gunung Yong Yap + Gunung Korbu + Gunung Gayong + Gunung Yong Belar (6-7 hari)
  5. Transpeak V2 @ Version 2: Gunung Yong Belar + Gunung Gayong + Gunung Korbu + Gunung Yong Yap (7-8 hari)
  6. Gunung Chamah + Gunung Ulu Sepat (6-7 hari)

Trip-trip sebegini memerlukan kesabaran yang sangat tinggi serta kekuatan mental dan fizikal. Latihan yang cukup sangat diperlukan bagi memastikan trip yang lama sebegini berjalan dengan lancar dan sekurang-kurangnya dapat meminimumkan kecederaan pendaki sekiranya berlaku. Antara persediaan lain adalah:-

  1. Makanan yang mencukupi (Optimum - tidak terlalu banyak sehingga terpaksa membawa beban yang banyak dan tidak pula terlalu sedikit sehingga kekurangan makanan kerana tenaga yang banyak diperlukan untuk menghadapi perjalanan yang panjang/jauh)
  2. Pakaian yang sesuai seperti kasut getah dan sebagainya. Diingatkan bahawa geografi gunung di Malaysia atau hutan hujan tropika adalah berbeza dengan gunung yang terdapat di sebelah barat atau selain hutan hujan tropika. Ini kerana, pemakaian kasut boot kadang-kadang tidak sesuai untuk trip seperti ini. Para pendaki terpaksa melintas sungai yang banyak, berjalan di permukaan tanah berselut dan berakar serta merangkak adalah antara cabaran yang dihadapi oleh para pendaki gunung-gunung G7. Anda tidak memerlukan pakaian trekking yang banyak dan hanya memerlukan set yang sama ketika trekking. Ini kerana anda akan sentiasa berpeluh dan basah kerana hujan atau kelembapan di mana anda perlu membiasakan diri dengan keadaan tersebut. Ingat! Pakaian yang baik ketika itu adalah pakaian yang mudah kering, boleh nafas dan ringan.
  3. Haversack yang sesuai dan kurang memberi kecedaraan. Terdapat banyak jenis beg haversack di pasaran samada murah ataupun mahal yang membezakan ia adalah kualiti. Saya menasihati anda supaya laburlah haversack yang berkualiti dan pastikan anda membeli yang sesuai dengan anda.
  4. Kebersihan hutan hendaklah dijaga. Untuk pengetahuan anda, kebanyakkan trek dan gunung G7 masih terjaga dan tidak dikotori oleh sampah-sarap oleh pendaki yang tidak bertanggungjawab. Jadi, bersedialah untuk tidak membuang sampah, jagalah kebersihan walaupun sekecil plastik gula-gula atau sepuntung rokok. Bawalah balik sampah-sampah yang tidak boleh lupus (seperti plastik) atau sampah kering, dan sampah basah seperti sisa makanan perlulah ditanam sebaik mungkin.

No comments: