July 21, 2008

Assalamualaikum..

Assalamualaikum W.b.t

Pertama sekali saya ingin mengucapkan syukur kehadrat ilahi kerana dengan izinNya saya dapat membuat blog ini..
Aktiviti mendaki gunung adalah aktiviti yang sangat menarik, ini kerana mendaki gunung dapat menyihatkan tubuh badan, selain itu apabila kita sampai dipuncak.. kita dapat melihat pemandangan yang sangat cantik. Suatu pemandangan yang tidak dapat dilihat sekiranya kita tidak berada diatas puncak.
Perasaan ketika berada di puncak gunung pula adalah suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, hanya orang yang mendaki sahaja dapat merasainya.. selepas penat lelah mendaki dan akhirnya sampai ke puncak, anda akan dapat merasakan kepuasan yang tidak terhingga kerana berjaya mencabar diri sendiri dan dapat menguji kekuatan mental diri ini.

July 20, 2008

Gunung-gunung G7 di Malaysia





Permandangan di puncak Gunung Yong Belar

Terdapat banyak gunung-gunung yang ada di malaysia dan kadangkala kita sendiri tidak pernah mendengarnya. setiap negeri mempunyai gunung masing-masing dan mempunyai ketinggiannya yang tersendiri.
Malaysia mempunyai pelbagai gunung dengan ketinggian dan cabaran yang berbeza antara satu sama lain. Bagi pendaki-pendaki gunung, istilah G7 sangat popular di kalangan mereka bagi mengkategorikan gunung-gunung yang ada di Malaysia. Jadi apakah maksudnya gunung G7 dan G12 itu?
Gunung G7 adalah kategori gunung yang mempunyai ketinggian melebihi 7,000 kaki terletak di Semenanjung Malaysia. Gunung kategori G7 ini hanya terdapat 7 gunung sahaja di semenanjung Malaysia, oleh kerana itu, kategori gunung ini dipanggil G7 sempena angka 7 yang diambil dari ketinggian dan bilangannya. Antara gunung-gunung G7 ialah :-
  1. Gunung Tahan (7,186 kaki)
  2. Gunung Korbu (7,162 kaki)
  3. Gunung Yong Belar (7,156 kaki)
  4. Gunung Gayong (7,129 kaki)
  5. Gunung Chamah (7,210 kaki)
  6. Gunung Yong Yap (7,110 kaki)
  7. Gunung Ulu Sepat (7,089 kaki)

Gunung-gunung G7 ini juga terletak di sepanjang banjaran titiwangsa kecuali Gunung Tahan yang mana anda perlu mendaki beberapa gunung yang lain selain daripada G7 untuk sampai ke salah satu puncak gunung G7 tersebut. Trip atau perjalanan gunung G7 kebiasaannya memakan masa yang lama kerana faktor geografinya. Dan kebiasaannya, pendaki-pendaki membuat pendakian sekali harung mengikut nama/pakej perjalanan seperti berikut:-

  1. Kuala Tahan-Kuala Tahan: Gunung Tahan (8 hari)
  2. Kuala Tahan-Merapoh: Gunung Tahan (6-7 hari)
  3. Merapoh-Merapoh: Gunung Tahan (4 hari)
  4. Transpeak @ TransTitiwangsa: Gunung Yong Yap + Gunung Korbu + Gunung Gayong + Gunung Yong Belar (6-7 hari)
  5. Transpeak V2 @ Version 2: Gunung Yong Belar + Gunung Gayong + Gunung Korbu + Gunung Yong Yap (7-8 hari)
  6. Gunung Chamah + Gunung Ulu Sepat (6-7 hari)

Trip-trip sebegini memerlukan kesabaran yang sangat tinggi serta kekuatan mental dan fizikal. Latihan yang cukup sangat diperlukan bagi memastikan trip yang lama sebegini berjalan dengan lancar dan sekurang-kurangnya dapat meminimumkan kecederaan pendaki sekiranya berlaku. Antara persediaan lain adalah:-

  1. Makanan yang mencukupi (Optimum - tidak terlalu banyak sehingga terpaksa membawa beban yang banyak dan tidak pula terlalu sedikit sehingga kekurangan makanan kerana tenaga yang banyak diperlukan untuk menghadapi perjalanan yang panjang/jauh)
  2. Pakaian yang sesuai seperti kasut getah dan sebagainya. Diingatkan bahawa geografi gunung di Malaysia atau hutan hujan tropika adalah berbeza dengan gunung yang terdapat di sebelah barat atau selain hutan hujan tropika. Ini kerana, pemakaian kasut boot kadang-kadang tidak sesuai untuk trip seperti ini. Para pendaki terpaksa melintas sungai yang banyak, berjalan di permukaan tanah berselut dan berakar serta merangkak adalah antara cabaran yang dihadapi oleh para pendaki gunung-gunung G7. Anda tidak memerlukan pakaian trekking yang banyak dan hanya memerlukan set yang sama ketika trekking. Ini kerana anda akan sentiasa berpeluh dan basah kerana hujan atau kelembapan di mana anda perlu membiasakan diri dengan keadaan tersebut. Ingat! Pakaian yang baik ketika itu adalah pakaian yang mudah kering, boleh nafas dan ringan.
  3. Haversack yang sesuai dan kurang memberi kecedaraan. Terdapat banyak jenis beg haversack di pasaran samada murah ataupun mahal yang membezakan ia adalah kualiti. Saya menasihati anda supaya laburlah haversack yang berkualiti dan pastikan anda membeli yang sesuai dengan anda.
  4. Kebersihan hutan hendaklah dijaga. Untuk pengetahuan anda, kebanyakkan trek dan gunung G7 masih terjaga dan tidak dikotori oleh sampah-sarap oleh pendaki yang tidak bertanggungjawab. Jadi, bersedialah untuk tidak membuang sampah, jagalah kebersihan walaupun sekecil plastik gula-gula atau sepuntung rokok. Bawalah balik sampah-sampah yang tidak boleh lupus (seperti plastik) atau sampah kering, dan sampah basah seperti sisa makanan perlulah ditanam sebaik mungkin.

Gunung Tahan


Peta Gunung tahan


Video Pendakian Gunung Tahan

Gunung Tahan dengan ketinggian (2187 meter), merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Malaysia, Gunung Tahan terletak di Taman Negara dalam negeri Pahang. Gunung Tahan bagaimanapun adalah rendah daripada Gunung Kinabalu yang merupakan gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara. Gunung ini menjadi titik sempadan negeri Pahang dengan negeri Kelantan.

Laluan mendaki

Gunung Tahan ini sering menjadi tumpuan pendaki gunung yang menggunakan laluan Kuala Tahan - Gunung Tahan. Laluannya :-
  1. Dari Kuala Tahan ke Kem Kuala Melentai - 1 hari melalui tepi Sungai Melentai. berkhemah di sini.
  2. Dari Kem Melantai ke Bukit Darah
  3. Dari Bukit Darah melalui Bukit Malang - di sana ada 11 bukit.
  4. Dari Bukit Malang ke Gunung Rajah
  5. Dari Gunung Rajah turun ke Kem Kuala Puteh di bawah .
  6. Dari Kuala Puteh ke Kuala Teku - 1 hari melalui tepi Sungai Peleting. Berkhemah di sini.
  7. Dari Kuala Teku ke Gunung Pondok Dua (898 m di Kem Wrays).
  8. Dari Gunung Pondok Dua ke Gunung Pangkin ( 1462 m)
  9. Dari Gunung Pankin ke Gunung Tangga Lima Belas ( 1574 m)
  10. Dari Gunung Tangga Lima Belas ke Gunung Reskit ( 1666 m)
  11. Dari Gunung Reskit ke Gunung Gedong ( 2066 m)
  12. Dari Gunung Gedong turun ke Kem Padang
  13. Dari Kem Padang ke Gunung Tahan ( 2187 m)

Anda perlu mendaki, berjalan kaki sejauh 65 km dari Kuala Tahan ke puncak Gunung Tahan.

Punca air sungai ada di Kuala Melantai , Kuala Puteh , Kuala Teku , Kem Wrays dan di Kem Padang. Ambil air di sana dan masak.

Pendakian

Pendakian paling cepat 9 hari di dalam hutan bagi mereka yang sihat. Jika di kira dari Kuala Lumpur kena tambah 2 hari lagi. Terpaksa merentas sungai dan trak yang sangat mencabar. Bagaimanapun trak ini terbuka kepada orang ramai. Dapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pegawai Taman Negara.

Pendakian bermula dari Kuala Tahan ke Kuala Melantai ambil masa 5 hari. Di Kuala Tahan ada ibu pejabat Taman Negara.

Terpaksa naik bot, tidak ada jalan raya. bot terpaksa ditempah terlebih dahulu dengan cara menulis kepada pejabat cawangan Taman Negara di Kuala Lumpur. Bayaran bot sekitat RM10.00 hingga RM120.00 setiap orang , bergantung kepada bilangan orang.

Masa terbaik mendaki ialah antara bulan Februari dan Mac kerana tidak basah, kurang hujan. Bulan Oktober biasanya hujan hampir setiap hari. Taman Negara ditutup kepada pelawat dari 15 November hingga 15 Januari.

Kronologi berkaitan Gunung Tahan

  1. 1875 - Rakyat Eropah pertama mengetahui kewujudan Gunung Tahan ialah penjelajah Russia, Baron Von Mikluho-Maclay yang mengesan dari jarak Kampung Penghulu Gedong, Kelantan. Beliau melihat sebuah gunung yang menakjubkan (Skinner, 1878).
  2. 1880 - Terdapat dua ekspedisi awal yang dihantar oleh Sultan Pahang iaitu Sultan Ahmad bertujuan mencari Batu Hikmat yang dipercayai terletak di puncak. Kisah hikayat Orang Asli mendakwa ada monyet sebesar badak sumbu menjaga dua kendi mengandungi ibu emas dan ibu perak. Satu percubaan pergi ke kawasan itu melalui Teko Gorge sepanjang 1,000 meter kerana laluan itu dianggap paling mudah ke puncak, tetapi kedua-dua ekspedisi gagal kerana tebing tinggi dan curam.
  3. 1884 - Residen Perak, F A Swettenham dalam lawatannya ke Kuala Kangsar pernah menggunakan teropong besar dan melaporkan telah melihat sebuah gunung yang tinggi di kawasan pedalaman Tanah Melayu.
  4. 1893 - H M Becher, seorang lagi individu yang dikatakan sedang memeriksa daerah itu memutuskan untuk berkhemah di atas sebuah pulau (beting pasir) yang terletak di tengah sungai Tahan. Becher mengabaikan nasihat penduduk tempatan yang mengatakan kawasan itu tidak selamat kerana sering dinaiki air. Ketika air pasang, beliau hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika sampan yang dinaikinya karam.
  5. 1890 - Ekspedisi diketuai H N Ridley hanya mampu melepasi beberapa kilometer ke hulu Kuala Tahan.
  6. 1989 - W W Skeat adalah orang pertama yang berjaya menerokai lebih jauh dari kawasan tanah pamah. Kumpulan ekspedisi ini menanam benih durian dan rambutan di beberapa tempat di sepanjang Sungai Tahan serta terserempak dengan seekor badak. Beliau mendaki ke tempat yang kini dikenali sebagai Gunung Pankin (ketinggian 1,463 meter) dan memacak bendera menggunakan kain batik dipercayai milik seorang peserta ekspedisi.
  7. 1902 - Seorang ahli alam semula jadi, Waterstad mengetuai ekspedisi yang mengisytiharkan bahawa beliau sampai ke Banjaran Tahan, namun keterangannya amat berbeza dengan keadaan sebenar di kawasan berkenaan.
  8. 1905 - Ekspedisi Robinson, mereka memulakan perjalanan dengan menaiki bot pada pagi 17 Mei 1905 ke Kuala Tembeling menuju ke Kuala Tahan. Empat pembantu Robinson berbangsa Melayu iaitu Che Nik, Mumin, Mat Aris dan Bulang adalah orang pertama tiba di puncak Gunung Tahan pada jam 10.15 pagi 16 Julai 1905, iaitu selepas dua bulan mendaki dari Kuala Tahan (Scrivenor 1912).
  9. 1906 - Jabatan Bancian mendirikan survey beacon dan kepingan besi serta menandakan ketinggian puncak gunung iaitu 7,059 kaki.
  10. 1912 - Ketinggian Gunung Tahan disahkan pada 7,186 kaki oleh Scrivenor, namun kini disahkan dengan peralatan yang lebih moden pada ketinggian 7,182 kaki.

Gunung yong belar

Gunung Yong Belar merupakan sebuah gunung di sempadan negeri Perak Darul Ridzuan dengan Pahang Darul Makmur dan Kelantan Darul Naim, Malaysia dan mempunyai ketinggian 2,181 meter (7,156 kaki). Gunung ini mengandungi hutan Dipterokarp Bukit dan hutan Dipterokarp Atas. Gunung Yong Belar mempunyai hutan Dipterokarp Bukit, hutan Dipterokarp Atas, hutan Montane, dan Hutan Ericaceous atau hutan gunung. Terdapat banyak flora di gunung ini yang mempunyai nilai perubatan. sila lawat link http://www.peakbagger.com untuk keterangan yang lebih lanjut berkaitan dengan gunung yong belar.


Gambar pemandangan dari puncak Gunung Yong Belar


Video pendakian Gunung Yong Belar



July 18, 2008

laman web Gunung

Untuk informasi berkaitan dengan pendakian gunung atau aktivit-aktiviti outdoor,sila lawat laman web dibawah:-
  1. http://www.ogkl.com.my/
  2. http://azmanzainal.com/2008/01/22/gunung-gunung-g7/
  3. http://kerexutem.forum2u.org/